Wednesday, 18 March 2015

Keupayaan vs Kapasiti

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua pembaca,

Bisnes adalah suatu bidang yang dinamik dan ramai usahawan menasihatkan agar sesiapa yang terlibat perlu bergerak pantas dan terlibat dalam beberapa bidang secara serentak bagi mengelakkan kewangan syarikat menjadi semput. Maka ramai yang apabila sesuatu jualan sudah stabil cuba mencari produk baru atau inovasi baru bagi mencambahkan lagi jualan dan pengguna mereka akan tetapi dalam setiap perkara mesti ada batas dan sempadannya. Di sini hadir isu antara kapasiti dan juga kapabiliti seseorang atau syarikat dalam memastikan jualan dan servis sentiasa di tahap yang memberangsangkan.

Kapasiti adalah kuantiti dalam bentuk modal dan pengeluaran produk yang mampu diuruskan oleh sesuatu perkhidmatan atau jualan tersebut. Maka jika modal kita hanya RM10,000.00 akan tetapi projek yang kita dapatkan memerlukan modal sebanyak RM50,000.00. Keadaan ini telah membuktikan yang kita telah mengambil sesuatu untuk syarikat di luar kapasiti syarikat untuk menguruskannya. Pengarah syarikat mungkin akan mengambil tindakan untuk membuat pinjaman atau menambah pemegang saham akan tetapi adakah projek tersebut dapat memberi pulangan yang setimpal dengan tindakan tersebut. Oleh itu, kita fikirkan kekuatan pada projek tersebut, jika berbaloi ia tidak menjadi suatu permasalahan untuk keluar dari keadaan selesa dengan membuat pinjaman atau lain-lain. 

Keupayaan adalah sumber manusia dalam mengendalikan projek tersebut. Jika tenaga kerja hanya ada 3 orang maka projek yang berjuta-juta berlu dipertimbangkan akan pengurusannya. Jika tidak untung berjuta-juta boleh menjadi rugi yang berbilion-bilion. Ia adalah satu cabaran bagi sesebuah syarikat untuk berkembang akan tetapi kenali keupayaan kita dalam menguruskan projek tersebut. Pengalaman dan ilmu juga adalah faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menentukan keupayaan syarikat kita.

Oleh itu, kita perlu memikirkan dua faktor ini bagi menguruskan syarikat dan menerima projek untuk syarikat masing-masing. Jika kita mampu menguruskan kedua-dua ini, ia dapat membangunkan lagi syarikat ke arah pembangunan yang lebih memberangsangkan. Ambil tindakan, cabar diri dan syarikat dalam keupayaan dan kapasiti syarikat.

Semoga bermanfaat untuk semua usahawan di luar sana.

Ingin mengadakan Seminar Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Bisnes, Sila hubungi 013-5336456 untuk keterangan lanjut.

Monday, 16 March 2015

Pengurusan Kewangan: Umur dan Wang


Kekuatan Umur untuk Membina Kewangan

Usia muda sebelum tua. Rasulullah S.A.W telah mengingatkan kita ingat lima perkara sebelum lima perkara. Setiap dari kita akan merasai masa muda yang penuh dengan pelbagai keinginan. Nak beli itu, nak melancong ke tempat menarik, nak beli kereta besar, nak beli rumah besar. Dan pelbagai lagi. Tidak disalahkan waktu muda itu kerana itulah gelojak nafsu darah muda. Akan tetapi nafsu ini perlu diuruskan dengan baik. Bila muda kita ada tenaga yang boleh digunakan untuk mencari wang tambahan, membina kewangan yang besar dan membuat perniagaan sendiri akan tetapi bila sudah tua kita hilang keupayaan untuk melaksanakan perkara tersebut. Nak tingkatkan pendapatan tapi diri sudah tidak terdaya untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa.

Oleh itu, di waktu muda ini kita perlu bijak dalam menguruskan tenaga dan wang kita supaya ia bermanfaat pada hari tua kita. Bila nak membina kewangan kita dan mengawal nafsu muda ini kita perlukan ilmu. Ilmu pengurusan kewangan yang berhemah perlu dilaksanakan. Apabila kita mengatakan tentang pengurusan kewangan, ramai akan merungut. Kita punyai pendapatan sedikit, nak beli barang keperluan dan kadang-kadang kereta dan rumah juga adalah keperluan mendesak pada masa muda ini. Jadi kita perlu bijak dalam menguruskan kewangan kita yang sedikit. 

Di masa muda inilah kita berpeluang untuk membina kewangan kita kerana kurangnya tanggungjawab seperti nafkah untuk keluarga, beban pinjaman dan sebagainya. Walaupun apa yang diperoleh itu sedikit tetapi jika diuruskan dengan baik, ia akan membina kewangan kita untuk hari tua nanti. Waktu muda inilah kita perlu cari ilmu pengurusan kewangan yang baik sedikit demi sedikit supaya kita tidak tersungkur di hari tua atau perlu bekerja sampai mati. Kita lihat ilmu pengurusan kewangan itu sangat penting ketika muda, bukan ketika duit sudah banyak atau ketika sudah melewati usia pencen.

Dalam ilmu pengurusan kewangan, perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah ‘cashflow’ atau aliran tunai. Ketahuilah bahawa pendapatan dan perbelanjaan kita perlu seimbang supaya kita tidak membelanjakan wang masa hadapan kita. Kita perlu sedar untuk memastikan aliran tunai kita sentiasa positif. Bagaimana? Antara cara yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:
  1. Buat pembahagian duit dari pendapatan bulanan.
  2. Buat senarai perbelanjaan harian dan bulanan.
  3. Buat simpanan selepas gaji masuk.
  4. Belanja untuk barang keperluan sahaja
  5. Tangguhkan keinginan kita jika kita masih tidak membuat simpanan pada waktu tersebut.
Pembinaan kewangan ketika muda ini memerlukan kesedaran awal iaitu dengan meneliti semula ke manakah wang kita setiap bulan? Adakah ia ke akaun simpanan atau pelaburan? Adakah ia pergi kepada ibu bapa kita? Adakah ia hanya pergi ke pusat beli belah? Soal semua diri kita ke mana wang kita?
Bagi memupuk kesedaran awal ini kita boleh membuat senarai pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita seperti dalam rajah di bawah.

Pendapatan
Perbelanjaan
Gaji
RM 1650
Bulanan Rumah
RM 450
Bisnes
RM 500
Bulanan Kereta
RM 550
Pelaburan
RM 150
Minyak dan Bil
RM 300


Makanan dan Minuman
RM 350


Sedekah
RM 100


Lain-Lain
RM 200


Simpanan
RM 165
Jumlah
RM 2300
Jumlah
RM 2115

Aliran Tunai        : Pendapatan – Perbelanjaan
                           : RM 2300 – RM 2115 = RM 185

Bila dilihat dari pengiraan ini barulah kita sedar akan kewangan kita masih ada lebihan dan masih boleh disimpan atau dilaburkan dalam akaun pelaburan. Inilah yang dinamakan kesedaran kewangan diri. Apabila kita sedar maka kita lebih mudah untuk merancang.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua di tahun 2015 yang serba mencabar ini. Nantikan info-info menarik pada post-post yang akan datang.

Ingin melakukan Seminar Pengurusan Kewangan, hubungi saya di talian 013-5336456.