Hari-hari mendatang kita selalu inginkan sesuatu keajaiban berlaku pada kita. Sebagai contoh, duit dalam akaun masuk beribu-ribu, dapat hadiah kereta mewah dan sebagainya. Akan tetapi adakah kita sedar yang kita menetapkan matlamat diri kita pada hari itu yang kita inginkan wang yang banyak dan kereta yang besar. Jika kita sedar akan apa matlamat hidup kita maka kita akan lebih terarah untuk menariknya dengan pelbagai jalan yang boleh kita perolehinya.
Oleh itu, untuk kita menjadi lebih baik di masa hadapan atau masa sekarang, perlulah kita menetapkan matlamat hidup kita. " Setiap amalan itu dimulakan dengan niat" itulah hadis Rasulullah S.A.W yang selalu kita dengar tetapi jarang diamalkan. Apa kata pada hari ini kita duduk sejenak memikirkan apa motif kita dihidupkan lagi di dunia ini. Adakah sekadar untuk bersambil lewa dan bersandiwara kosong tanpa memberi manfaat apa-apa kepada orang sekeliling bahkan pada diri kita? Semestinya tidak dijadikan sesuatu itu sia-sia seperti firman Allah dalam al-quran. Jadi apa sebenarnya matlamat hidup kita yang utama:
- menjadi HAMBA Allah yang taat dan patuh beribadah kepadanya.
- menjadi khalifah di muka bumi ini.
- mentadbir bumi ini dengan seimbang dan tidak merosakkannya
Setiap dari kita menginginkan diri sendiri menjadi seorang Muslim yang taat perintah-Nya maka kita niatkan pada hari ini dan hari mendatang untuk menunaikan solat fardu di awal waktu dan juga berjemaah sebagai permulaan. Apabila sudah dapat rutin tersebut maka kita boleh tingkatkan dengan ibadah wajib dan sunat yang lain seperti solat sunat, puasa, sedekah, infaq dan zakat. Selain itu, dengan merutinkan solat fardu di awal waktu, kita dapat menguruskan masa kita dengan baik iaitu dengan mengatur aktiviti kita di setiap selepas waktu solat.
Apabila sudah dapat memimpin diri kita, maka kita cuba menjadi khalifah untuk orang di sekeliling kita. Ketua tidak semestinya selalu betul. Oleh itu, menjadi khalifah adalah proses pembentukan akhlak mulia kita. Menjadi seorang yang bertoleransi, bermanis senyuman, berlembut tutur kata membolehkan kita menunjukkan akhlak sebenar seorang Muslim di mata masyarakat.
Sesudah kita dapat membina diri dengan akhlak yang baik maka kita perlu mentadbir dunia ini dengan seimbang. Maka di sini kita perlu misi-misi tambahan untuk mengukuhkan matlamat kita untuk mentadbir dunia dengan seimbang. Seorang jurutera kimia boleh menjadi seorang yang mencipta bateri sebagai sumber tenaga jika dia mempunyai akhlak yang baik tetapi dia juga boleh mencipta sebutir bom nuklear jika dia mempunyai pemikiran yang tidak baik. Di sini kita ingin menetapkan sesuatu misi untuk dicapai di dunia ini seperti membina sebuah syarikat yang dapat menyediakan pekerjaan kepada rakyat dalam bidang pembuatan makanan.
Pembinaan matlamat ini penting supaya kita tidak terawang-awang apabila membuat keputusan dalam hidup dan dapat menentukan arah hidup yang lebih teratur. Setelah kita tahu niat dan matlamat kita barulah jalan yang pelbagai itu dapat dirangka dan dipilih dengan baik dan kita sentiasa seronok untuk menelusurinya.

No comments:
Post a Comment